Soalan Lazim (FAQs)
Penyediaan Soalan Lazim (FAQ) ini adalah usaha Jabatan Adat Istiadat Negara untuk membantu warga perkhidmatan awam serta orang awam memahami dengan lebih jelas dan memperkukuh kefahaman masyarakat pada prinsip, amalan dan tatacara adat resam Brunei. Ia berperanan sebagai panduan asas dalam menelusuri maksud, tujuan dan tatacara pelaksanaan adat yang menjadi warisan budaya bangsa Brunei Darussalam.
Bagi pertanyaan yang lebih terperinci atau tidak ada jawapan jelas disini, boleh masuk ke laman hubungi kami dan menghantar soalan anda. Kami akan cuba menjawab segala persoalan yang ditanyakan.
Gelaran / Terasul
Bendera / Logo
/ Panji-panji
Jemputan Majlis
Beradat Istiadat
Ceramah / Kursus
/ Bengkel /
Penggunaan Kubah
Umum / Am
Gelaran / Terasul
Terasul
Gabungan nama atau susunan perkataan yang indah dan mulia bunyinya yang dahulu disebut sebelum menyebut nama gelaran (jika ada) kemudian diikuti oleh nama sebenar seseorang.
Tujuan meletakkan Terasul di pangkal nama adalah sebagai memuliakan dan memberi penghormatan kepada seseorang,
Contoh: Jika kita hendak menjemput seseorang untuk menghadiri sesuatu majlis seperti majlis perkahwinan dan sebagainya, biasanya di dalam kad jemputan akan dimulai:
1. Yang Mulia (terasul) Awang/Dayang (nama)
2. Yang Mulia (terasul) Dato/Datin Paduka (Bintang-Bintang Kebesaran) Awang/Dayang (nama)
3. Yang Dimuliakan (terasul) Pehin Orang Kaya Jurulateh Adat Istiadat Diraja (gelaran) Dato Paduka (Bintang-Bintang Kebesaran) Awang (nama)
Penggunaan Terasul
Terasul hanya sesuai digunakan dalam satu situasi atau keadaan rasmi atau formal seperti dalam persuratan dan majlis-majlis keraian baik yang beristiadat mahupun yang biasa.
Gelaran
Dalam konteks Brunei Darussalam, Gelaran bermaksud tanda kebesaran, pangkat, atau penghormatan rasmi yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada individu tertentu atas jasanya, kedudukan, atau keturunannya.
Berikut penjelasan yang lebih terperinci:
1. Maksud Umum
Gelaran ialah panggilan kehormatan atau kebesaran yang menunjukkan status sosial, kedudukan, atau peranan seseorang dalam masyarakat, khususnya dalam sistem Adat Istiadat dan Kesultanan Brunei.
Tujuan Pemberian Gelaran
2. Gelaran dikurniakan untuk:
- Mengiktiraf jasa dan sumbangan seseorang kepada negara, raja, atau masyarakat.
- Menunjukkan keturunan bangsawan atau hubungan kekeluargaan diraja.
- Membezakan kedudukan adat atau istiadat seseorang dalam struktur pentadbiran istana dan adat kebesaran.
3. Jenis-jenis Gelaran di Brunei
Antara kategori utama gelaran ialah:
- Gelaran Kebangsawanan Diraja – seperti Pengiran Muda, Pengiran Anak, Pengiran.
- Gelaran Kehormatan dan Kebesaran – seperti Pehin, Yang Amat Mulia (YAM), Yang Mulia (YM).
- Gelaran Adat Istiadat – diberikan kepada individu yang memegang jawatan adat seperti Pehin Orang Kaya Digadong, Pehin Orang Kaya Shahbandar, dan sebagainya.
4. Penggunaan Gelaran
Gelaran biasanya digunakan di hadapan nama seseorang, misalnya:
- Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad*
- Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Paduka Awang Haji …*
Awangku / Dayangku
“Awangku” ialah gelaran yang digunakan bagi lelaki, manakala “Dayangku” digunakan bagi perempuan. Gelaran ini biasanya diletakkan sebelum nama dan melambangkan rasa hormat serta pengiktirafan terhadap keturunan bangsawan atau diraja. Penggunaan gelaran tersebut lebih lazim dalam konteks rasmi dan tradisional, khususnya dalam kalangan golongan bangsawan Melayu.
Penggunaan gelaran seperti “Awangku” dan “Dayangku” merupakan amalan budaya di Brunei. Walau bagaimanapun, gelaran ini masih menjadi sebahagian penting daripada warisan budaya dalam kalangan komuniti tertentu.
Pengiran
“Pengiran” ialah satu lagi gelaran bangsawan yang digunakan di Brunei. Sama seperti “Awangku” dan “Dayangku,” gelaran “Pengiran” merupakan gelaran diraja atau bangsawan yang menandakan keturunan mulia. Gelaran ini digunakan bagi lelaki dan juga perempuan.
Apabila digunakan, “Pengiran” biasanya diletakkan sebelum nama seseorang. Sebagai contoh, “Pengiran Ahmad” bagi lelaki atau “Pengiran Fatimah” bagi perempuan. Gelaran ini menunjukkan hubungan seseorang dengan keluarga diraja atau bangsawan, dan digunakan sebagai tanda penghormatan kepada individu yang mempunyai kedudukan sosial yang tinggi.
Seperti gelaran bangsawan yang lain, penggunaan “Pengiran” berakar umbi dalam tradisi budaya dan sejarah masyarakat Melayu. Ia lazimnya digunakan dalam konteks rasmi atau upacara, bagi menyerlahkan warisan keturunan bangsawan seseorang serta memperkukuh identiti budaya yang diwarisi turun-temurun.
Pehin
“Pehin” ialah salah satu gelaran kehormatan tertinggi yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada individu tertentu yang telah memberi jasa besar kepada negara, sama ada dalam bidang perkhidmatan kerajaan, agama, adat istiadat, atau masyarakat.
Bendera / Logo / Panji-panji
Bendera Kebangsaan ada dijual di JAIN?
Maaf, Jabatan Adat Istiadat Negara tidak ada menjual bendera kebangsaan, bendera boleh diperolehi di Jabatan Stor Negara atau melalui Jabatan Perbendaharaan di kementerian Kewangan.
Panji-panji brunei pada pakaian, adakah dibolehkan?
Secara umumnya, penggunaan Panji-panji Negara Brunei Darussalam (yakni bendera rasmi negara atau panji-panji kebesaran diraja dan kementerian) adalah tertakluk kepada peraturan ketat, dan tidak boleh digunakan sesuka hati — termasuk pada pakaian, hiasan peribadi, atau barangan komersial tanpa kebenaran rasmi.
Untuk penerangan lanjut boleh datang ke Jabatan ini dan berjumpa dengan Setiausaha Adat Istiadat.
Kesimpulan: Tidak dibenarkan memakai atau menghiasi pakaian dengan panji-panji rasmi Negara atau Diraja Brunei tanpa kebenaran.
Namun, boleh menggunakan warna-warna kebangsaan sebagai inspirasi reka bentuk — dengan cara yang menghormati adat dan martabat negara.
Bendera Pengiran-Pengiran Peranakan
Bagi Bendera Pengiran-Pengiran Peranakan bolehlah memohon dengan menulis surat ke Jabatan Adat Istiadat Negara bagi dibekalkan dengan bendera keturunan pemohon, walaubagaimanapun permohonan ini perlu diselidiki terlebih dahulu dan akan memakan masa bagi menyiapkan sehelai bendera mengikut keberadaan kain dan panji-panji tersebut.
Bendera pehin-pehin
Bendera-bendera untuk Pehin-Pehin Manteri boleh dipohonkan ke Jabatan Adat Istiadat Negara dengan menulis surat kepada Yang DiPertua. Walau bagaimana pun, Jabatan Adat Istiadat Negara hanya membekalkan kain bendera manakala upah menjahit bendera adalah ditanggung oleh pemohon.
Bendera usang
Pengibaran bendera yang tidak dalam keadaan baik boleh mendatangkan implikasi terhadap imej dan identiti kebangsaan kita. Dengan itu dipohonkan untuk menurunkan atau menggantikan bendera yang usang bagi menjaga maruah dan kehormatan simbol negara kita.
Jemputan Majlis Beradat Istiadat
Bagaimana memohon untuk menjadi jemputan sesuatu acara adat berisiadat?
Setiap permohonan ke Majlis-Majlis Beradat Istiadat perlulah menulis ke jabatan dengan mengalamatkan permohonan ke Yang Amat Mulia, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara. Sebelum diterima akan diteliti terlebih dahulu dan dibuat penyelidikan jika perlu sebelum ianya diterima.
Kemudian pihak jabatan akan membalas permohonan tersebut samaada diterima atau ditolak. Jika diterima maka pemohon akan dihubungi dan dikehendaki mengisi borang mengikut kategori permohonan.
Bagi permohonan yang berjaya setelah penyelidikan
Bagi Pengiran-pengiran Peranakan yang berhak adalah dengan mengisi borang jabatan ini dan disertakan salasilah keturunan yang dikeluarkan oleh jabatan pusat sejarah.
Bagi Pegawai kerajaan bahagian II (B2) keatas, hendaklah memohon melalui pentadbiran masing-masing dengan mengisikan borang permohonan (Borang B i/ii/iii) disertakan surat lantikan dan dokumen-dokumen yang diperlukan.
Kenaikan pangkat / perubahan jawatan
Kebiasaannya JAIN akan bertindak sebaik saja menerima persuratan yang menyatakan kenaikan pangkat atau perubahan jawatan, Untuk itu boleh menghantarkan persuratan kenaikan dan mengemaskini borang mengikut tanggagaji baru.
Ceramah / Kursus / Bengkel / Penggunaan Kubah
Permohonan Ceramah / Kursus / Bengkel
Sekiranya pihak Tuan/Puan ingin memohon ( Ceramah / Kursus / Bengkel ) adat istiadat, bolehlah menghadapkan surat kepada:
Yang Amat Mulia,
Yang Di-Pertua Adat Istiadat
Jabatan Adat Istiadat Negara
Jabatan Perdana Menteri
Bandar Seri Begawan, BA8610
Negara Brunei Darussalam
Siapa boleh memohon?
Ceramah, taklimat dan bengkel terbuka kepada semua jabatan kerajaan, syarikat swasta, institusi pendidikan, persatuan, dan individu berkumpulan.
Keramaian peserta
Biasanya, taklimat untuk kumpulan diadakan untuk minimum peserta 5 orang dan maksimum 70 orang untuk di Dewan JAIN atau jumlah maksimum peserta tertakluk kepada lokasi pemohon.
Tajuk-Tajuk Ceramah / Taklimat / Bengkel / Lawatan
Adat Istiadat Brunei
– Pengertian Adat Istiadat.
– Dasar Kepada Adat Istiadat Brunei.
Bahasa Dalam & Kepentingannya
– Pengertian Bahasa Dalam.
– Kata pengganti diri Bahasa Dalam.
Susunan Kedudukan Jemputan & Protokol
– Senarai dan susunan kedudukan jemputan.
– Protokol dalam majlis.
– Persediaan sebelum majlis.
Persuratan Rasmi
– Pengertian persuratan.
– Tatacara persuratan dengan Kerabat Diraja & Pembesar Negara.
Tatatertib Dalam Majlis-Majlis Beradat Istiadat
– Asas penentuan duduk dalam majlis.
– Adab bersopan santun dalam majlis.
Naubat & Gendang Jaga-Jaga
– Perbezaan Naubat dan Gendang Jaga-Jaga.
– Perjalanan Majlis Membuka Naubat.
Menambat Dastar & Menapih Sinjang
– Pengertian dastar dan jenis-jenisnya.
– Tunjukcara menambat dastar dan menapih sinjang.
Lapau
– Taklimat & Lawatan
Umum / Am
Script ucapan
Mengenai skrip ucapan penghargaan / keberangkatan. Walaupun jabatan kami tidak mempunyai skrip standard yang tersedia, kami dengan senang hati akan membantu. Jika anda mempunyai draf atau keperluan yang tertentu, sila kunjungi kami semasa waktu pejabat. Kami dengan gembira akan meneliti, berbincang dan memberi sebarang panduan atau nasihat yang diperlukan.